Abdul Rahman Malik
– Dalam soal mengatur langkah politik berpandukan Al Quran dan sunnah
nampaknya pemimpin PAS semakin longgar pegangannya. Tidak berkata benar
kini muncul sebagai jenama tindakan mereka. Sedikit demi sedikit
berbohong semakin menjadi lumrah di kalangan pemimpinnya
Demi menonjolkan sisi pemikiran Islamnya, Pemuda PAS, misalnya, masih
memperjuangkan supaya generasi muda Islam jangan terikut-ikut menyambut
Hari Kekasih atau Valentine’s Day setiap 14 Februari.
Alasannya ialah, pertama sekali itu adalah adat resam penganut
Kristian. Keduanya, Pemuda PAS menegaskan perkara itu sudahpun
difatwakan sebagai bertentangan dengan jiwa Islam oleh Majlis Fatwa
Kebangsaan pada tahun 2005.
Namun dalam skop yang lebih luas PAS agak tersasar daripada
perjuangan besarnya untuk menjadi gerakan dakwah – mencegah yang mungkar
dan menggalakkan amalan yang makruf!
Sewajarnya ruanglingkup utama perjuangan PAS ialah menyemarakkan
kalimah la ilaha illallah (Tiada tuhan melainkan Allah) dan Muhammad
Rasulullah. Kemudian ini mesti dituruti dengan pengisian kefahaman
tentang Islam.
Seharusnya tugas utama PAS ia menggilap keimanan muslimin supaya
semakin teguh beribadah kepada Allah dan bukan merelakan kemuliaan dan
kebesaran Allah dikongsi dengan kefahaman ketuhanan orang bukan Islam.
Natijahnya mutakhir ini langkah politik PAS lebih banyak mengeliru
daripada mencerahkan kefahaman umat. Contoh paling nyata ialah isu
penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible bahasa Melayu.
Dengan sewenangnya PAS mengumumkan isu itu selesai. Berikutan
inisiatif Mursyidul Am PAS, Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,
mengunjungi Pengerusi DAP Karpal Singh, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul
Hadi Awang, mengisytiharkan polemik itu sudah berakhir.
Nik Aziz pujuk Karpal dengan sebiji kek
Nik Aziz mengunjungi Karpal Singh dengan buah tangan sebiji kek
sempena hari jadi Nik Aziz sendiri. Pelik benar politik PAS. Untuk
memujuk Karpal supaya jangan bersikap “degil menolak perjuangan PAS”,
diplomasi PAS ialah sebiji kek?
Pengumuman Haji Hadi isu kalimah Allah sudah selesai dengan buah
tangan sebiji kek menyinggung perasaan Karpal. Ini kerana dalam
pertemuannya dengan Nik Aziz, Karpal
berkata, isu kalimah tidak ditimbulkan.
Jadi bagaimana Haji Hadi boleh menyatakan isu itu sudah selesai?
Adakah ini caranya orang Islam menyelesaikan perbedaan pendapat?
Apakah dengan menunjukkan kepada media ada ikatan silaturrahim dan
setiakawan di antara pemimpin PAS dengan pengerusi DAP, maka perbalahan
mereka sudah terlerai?
Atau, adakah ini caranya mahu “memerangkap” Karpal supaya beralih
pegangan dan mulai menyokong perjuangan hudud PAS serta akur akan hasrat
PAS agar DAP memberhentikan desakan supaya orang Kristian boleh diizin
menggunakan kalimah Allah dalam bible?
Soalnya, bukankah Nik Aziz pernah menemplak mantan Timbalan Presiden
PAS, Nasharudin Mat Isa bahawa jika beliau (Nasharudin) mahu terus
berjuang untuk Islam, maka satu-satu parti politik yang Islami di
Malaysia ialah PAS?
Maknanya Nasharuddin tidak ada pilihan selain terus duduk dalam PAS!
Memang pada hakikatnya, Nasharudin tidak berhajat meninggalkan PAS.
Namun mengapa beliau dilayani dengan begitu kurang beradab?
Merata rakyat bercerita mengenai penggugurannya dari Dewan Ulama PAS
tetapi hingga Sabtu, 2 Februari 2013, beliau belum menerima surat rasmi
berhubung isu yang besar
kesannya itu. Walhal keputusan menggugurkan Nasharudin dibuat pada 13
Januari oleh mesyuarat yang dipengerusikan oleh Nik Aziz sendiri!
Dosa Nasharudin lebih besar dari Karpal?
Yang jelasnya, sikap Nik Aziz itu agak tidak istiqamah. Dalam
menangani isu Nasharudin yang dikatakan oleh Dewan Syura Ulama PAS tidak
mentaati disiplin PAS, beliau digugurkan dari menjadi ahli mesyuarat
Dewan Ulama.
Bagaimanapun berhadapan dengan ketegasan politik dan ketegaran sikap
DAP dan Karpal Singh, Nik Aziz sanggup menjadikan alasan sambutan hari
jadinya sendiri untuk menghadiahkan kek kepada pengerusi DAP itu!
Yang memusykilkan, apakah memang menjadi “sunnah” Nik Aziz untuk meraikan tarikh lahirnya setiap tahun?
Jadi bagaimana Dewan Pemuda PAS? Tidakkah Ustaz Nasrudin Tantawi atau
anak Nik Aziz sendiri yang kini menjadi Naib Ketua Pemuda PAS, Nik
Abduh berani menegur Mursyidul Am PAS yang juga nampaknya terikut-ikut
dengan amalan Kristian?
Jika Hari Valentine dianggap tidak mengikut jiwa Islam, adakah
menyambut tarikh lahir dengan menghadiahkan kek pada orang bukan Islam
itu juga tidak bersilang dengan adab dan amalan Islam?
Di segi politik pula, besar sangatkah dosa Nasharudin sehingga harus
dihentikan keahliannya dalam Dewan Syura PAS? Mengapakah pula ketegaran
Karpal Singh yang tidak mahu ikut hudud PAS dan mendesak “atas nama hak
kebebasan beragama orang Kristian di Malaysia” boleh menggunakan kalimah
Allah dalam bible berbahasa Melayu”, tidak dianggap satu kemungkaran?
Malah, sebaliknya Karpal Singh dihadiahkan sebiji kek agar menganggap isu berkenaan selesai!
PAS mahu jaga hati DAP
Di mana adab politik PAS? Apabila kerajaan Pusat mengumumkan tujuh
projek utama untuk membantu meningkat kesejahteraan rakyat Kelantan, Nik
Aziz menyimpulkan ia adalah rasuah Umno menjelang pilihan raya.
Tidakkah secara simboliknya menghadiahkan Karpal sebiji kek agar DAP
berlembut dengan dasar PAS, pun boleh dianggap rasuah? Bukankah Islam
itu tinggi martabatnya dan tidak ada agama lain yang lebih tinggi
daripadanya? Mengapa PAS terlalu lunak dengan sikap DAP yang “amat
bengis” pada Islam?
Apakah yang ditakuti PAS berhubung sikap DAP ini? Adakah jika tiada
di sisi menjelang PRU ke-13 nanti, PAS berasa kurang yakin untuk menang?
Adakah kerana itu, seberapa mungkin PAS perlu “jaga hati dan sensiviti
DAP”?
Isu kalimah Allah adalah soal kemurnian akidah ummah. Penyelesaiannya
bukan dengan sebiji kek. Ia memerlukan jihad bersungguh-sungguh setiap
umat muslim di Malaysia.
Bagaimanapun yang menghairankan PAS memilih untuk menggunakan diplomasi kek menghadapi tentangan DAP.
Dewan tertinggi PAS ialah Majlis Syura Ulama yang sudah pun membuat
keputusan yang selari dengan ketetapan Majlis Fatwa Kebangsaan,
mengapakah pemimpin dan ahli-ahli
politik PAS masih keberatan melaksanakannya?
Masih adakah maruah di kalangan kepemimpinan PAS hari ini? Nampaknya
semakin dekat pilihan raya umum semakin galak PAS menunjukkan nafsu
untuk berkuasa dan memerintah Malaysia.