Kalimah Allah : Karpal Tolak ‘Rasuah’ Nik Aziz Dengan Sebiji Kek

Feb 5, 2013

Abdul Rahman Malik – Dalam soal mengatur langkah politik berpandukan Al Quran dan sunnah nampaknya pemimpin PAS semakin longgar pegangannya. Tidak berkata benar kini muncul sebagai jenama tindakan mereka. Sedikit demi sedikit berbohong semakin menjadi lumrah di kalangan pemimpinnya

Demi menonjolkan sisi pemikiran Islamnya, Pemuda PAS, misalnya, masih memperjuangkan supaya generasi muda Islam jangan terikut-ikut menyambut Hari Kekasih atau Valentine’s Day setiap 14 Februari.
Alasannya ialah, pertama sekali itu adalah adat resam penganut Kristian. Keduanya, Pemuda PAS menegaskan perkara itu sudahpun difatwakan sebagai bertentangan dengan jiwa Islam oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 2005.

Namun dalam skop yang lebih luas PAS agak tersasar daripada perjuangan besarnya untuk menjadi gerakan dakwah – mencegah yang mungkar dan menggalakkan amalan yang makruf!
Sewajarnya ruanglingkup utama perjuangan PAS ialah menyemarakkan kalimah la ilaha illallah (Tiada tuhan melainkan Allah) dan Muhammad Rasulullah. Kemudian ini mesti dituruti dengan pengisian kefahaman tentang Islam.

Seharusnya tugas utama PAS ia menggilap keimanan muslimin supaya semakin teguh beribadah kepada Allah dan bukan merelakan kemuliaan dan kebesaran Allah dikongsi dengan kefahaman ketuhanan orang bukan Islam.

Natijahnya mutakhir ini langkah politik PAS lebih banyak mengeliru daripada mencerahkan kefahaman umat. Contoh paling nyata ialah isu penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible bahasa Melayu.
Dengan sewenangnya PAS mengumumkan isu itu selesai. Berikutan inisiatif Mursyidul Am PAS, Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengunjungi Pengerusi DAP Karpal Singh, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mengisytiharkan polemik itu sudah berakhir.

Nik Aziz pujuk Karpal dengan sebiji kek 

Nik Aziz mengunjungi Karpal Singh dengan buah tangan sebiji kek sempena hari jadi Nik Aziz sendiri. Pelik benar politik PAS. Untuk memujuk Karpal supaya jangan bersikap “degil menolak perjuangan PAS”, diplomasi PAS ialah sebiji kek?

Pengumuman Haji Hadi isu kalimah Allah sudah selesai dengan buah tangan sebiji kek menyinggung perasaan Karpal. Ini kerana dalam pertemuannya dengan Nik Aziz, Karpal
berkata, isu kalimah tidak ditimbulkan.

Jadi bagaimana Haji Hadi boleh menyatakan isu itu sudah selesai? Adakah ini caranya orang Islam menyelesaikan perbedaan pendapat?

Apakah dengan menunjukkan kepada media ada ikatan silaturrahim dan setiakawan di antara pemimpin PAS dengan pengerusi DAP, maka perbalahan mereka sudah terlerai?

Atau, adakah ini caranya mahu “memerangkap” Karpal supaya beralih pegangan dan mulai menyokong perjuangan hudud PAS serta akur akan hasrat PAS agar DAP memberhentikan desakan supaya orang Kristian boleh diizin menggunakan kalimah Allah dalam bible?

Soalnya, bukankah Nik Aziz pernah menemplak mantan Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa bahawa jika beliau (Nasharudin) mahu terus berjuang untuk Islam, maka satu-satu parti politik yang Islami di Malaysia ialah PAS?

Maknanya Nasharuddin tidak ada pilihan selain terus duduk dalam PAS! Memang pada hakikatnya, Nasharudin tidak berhajat meninggalkan PAS. Namun mengapa beliau dilayani dengan begitu kurang beradab?
Merata rakyat bercerita mengenai penggugurannya dari Dewan Ulama PAS tetapi hingga Sabtu, 2 Februari 2013, beliau belum menerima surat rasmi berhubung isu yang besar
kesannya itu. Walhal keputusan menggugurkan Nasharudin dibuat pada 13 Januari oleh mesyuarat yang dipengerusikan oleh Nik Aziz sendiri!

Dosa Nasharudin lebih besar dari Karpal?
Yang jelasnya, sikap Nik Aziz itu agak tidak istiqamah. Dalam menangani isu Nasharudin yang dikatakan oleh Dewan Syura Ulama PAS tidak mentaati disiplin PAS, beliau digugurkan dari menjadi ahli mesyuarat Dewan Ulama.

Bagaimanapun berhadapan dengan ketegasan politik dan ketegaran sikap DAP dan Karpal Singh, Nik Aziz sanggup menjadikan alasan sambutan hari jadinya sendiri untuk menghadiahkan kek kepada pengerusi DAP itu!

Yang memusykilkan, apakah memang menjadi “sunnah” Nik Aziz untuk meraikan tarikh lahirnya setiap tahun?

Jadi bagaimana Dewan Pemuda PAS? Tidakkah Ustaz Nasrudin Tantawi atau anak Nik Aziz sendiri yang kini menjadi Naib Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh berani menegur Mursyidul Am PAS yang juga nampaknya terikut-ikut dengan amalan Kristian?

Jika Hari Valentine dianggap tidak mengikut jiwa Islam, adakah menyambut tarikh lahir dengan menghadiahkan kek pada orang bukan Islam itu juga tidak bersilang dengan adab dan amalan Islam?
Di segi politik pula, besar sangatkah dosa Nasharudin sehingga harus dihentikan keahliannya dalam Dewan Syura PAS? Mengapakah pula ketegaran Karpal Singh yang tidak mahu ikut hudud PAS dan mendesak “atas nama hak kebebasan beragama orang Kristian di Malaysia” boleh menggunakan kalimah Allah dalam bible berbahasa Melayu”, tidak dianggap satu kemungkaran?

Malah, sebaliknya Karpal Singh dihadiahkan sebiji kek agar menganggap isu berkenaan selesai!

PAS mahu jaga hati DAP

Di mana adab politik PAS? Apabila kerajaan Pusat mengumumkan tujuh projek utama untuk membantu meningkat kesejahteraan rakyat Kelantan, Nik Aziz menyimpulkan ia adalah rasuah Umno menjelang pilihan raya.

Tidakkah secara simboliknya menghadiahkan Karpal sebiji kek agar DAP berlembut dengan dasar PAS, pun boleh dianggap rasuah? Bukankah Islam itu tinggi martabatnya dan tidak ada agama lain yang lebih tinggi daripadanya? Mengapa PAS terlalu lunak dengan sikap DAP yang “amat bengis” pada Islam?
Apakah yang ditakuti PAS berhubung sikap DAP ini? Adakah jika tiada di sisi menjelang PRU ke-13 nanti, PAS berasa kurang yakin untuk menang? Adakah kerana itu, seberapa mungkin PAS perlu “jaga hati dan sensiviti DAP”?

Isu kalimah Allah adalah soal kemurnian akidah ummah. Penyelesaiannya bukan dengan sebiji kek. Ia memerlukan jihad bersungguh-sungguh setiap umat muslim di Malaysia.
Bagaimanapun yang menghairankan PAS memilih untuk menggunakan diplomasi kek menghadapi tentangan DAP.

Dewan tertinggi PAS ialah Majlis Syura Ulama yang sudah pun membuat keputusan yang selari dengan ketetapan Majlis Fatwa Kebangsaan, mengapakah pemimpin dan ahli-ahli
politik PAS masih keberatan melaksanakannya?

Masih adakah maruah di kalangan kepemimpinan PAS hari ini? Nampaknya semakin dekat pilihan raya umum semakin galak PAS menunjukkan nafsu untuk berkuasa dan memerintah Malaysia.
 
sumber:pisau.net

0 comments:

Post a Comment